Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

About-me

ISLAM ITU INDAH ISLAM ITU NUR ISLAM ITU SYUMUL

Featured-Content

Blogroll

Subscribe to Feed


Sunday, 21 August 2011

ISLAM ITU MENYUSAHKAN???


Adakah Islam menyusahkan? Atau manusia yang sengaja yang menyusahkan dan mengaitkannya dengan Islam?
Kita perhatikan apa Quran kata.
Sesungguhnya Kami memudahkan al-Qur'an untuk Peringatan. Adakah sesiapa yang mengingatinya? (54:17)
Allah menghendaki untuk meringankan kamu kerana manusia itu diciptakan lemah. (4:28)
Kami tidak menurunkan al-Qur'an kepada kamu supaya kamu menjadi sengsara (20:2)
Inilah ayat-ayat Allah Kami membacakan kamu dengan benar, dan Allah tidak menghendaki sebarang kezaliman bagi semua alam. (3:108)
Dan berjuanglah untuk Allah dengan perjuangan yang sebenar; Dia telah memilih kamu, dan tidak meletakkan ke atas kamu kesusahan dalam agama kamu, anutan bapa kamu, Ibrahim; ………(22:78)
Ayat-ayat di atas, dengan tersendiri tanpa keperluan kepada ulasan mendalam, jelas mengatakan bahawa kesusahan, kepayahan, kesukaran dan kesengsaraan bukanlah konsep yang dianjurkan Quran. Disebaliknya Quran adalah untuk kemudahan manusia. Islam adalah untuk kemudahan dan kesenangan manusia.
Sehinggakan dalam berpuasa pun, yang mungkin ada sedikit kesusahan dari keadaan harian kerana berlapar, Allah mengingatkan ianya bukanlah untuk kesukaran.
Bulan Ramadan yang padanya al-Qur'an diturunkan …….. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu; ……. (2:185)
Kesengsaraan adalah hanya bagi mereka yang tidak percaya dan tidak menurut perintah Allah yang terdapat dalam Quran.
Tetapi manusia pilih untuk mengaitkan konsep kesukaran dan kepayahan dengan amalan Islam. Memang Allah memberi ujian kepada manusia. Tetapi ujian bukannya dalam bentuk perbuatan lahir sahaja. Ujian sebenar ialah samaada manusia percaya dan tunduk patuh kepada apa yang dikatakan dalam Quran.
Teringat saya kepada satu lagi peristiwa dimana seorang mengambil wudhu’ dengan membasuh anggotanya berkali-kali, kerana was-was takut tidak rata air pada anggota, termasuk anggota yang tidak disuruh Allah, telinga, hidung dan leher sehingga membazir air. Pernah seorang ulamak terkenal memberi rasional mengapa dia cukur kepala, misai dan janggut: kerana senang meratakan air dimuka semasa berwudhu’. Ini meningkari dorongan hadith-hadith supaya menyimpan janggut.
Apabila hendak solat, Allah hanya suruh: ….basuhlah muka kamu, dan tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu, dan kaki kamu hingga pergelangan kaki… (5:6). Terperinci dan jelas. Mengapa pula manusia memandai-mandai menambah dan menyusahkan dengan membasuh telinga, hidung dan leher, sehingga lupa amaran Allah: ……. dan janganlah membazir; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membazir. (6:141). Allah tidak perincikan bagaimana cara basuh, setakat mana had muka, berapa kali basuh dan sebagainya. Allah memberi kita minda untuk menentukan sendiri semua itu. Allah tidak menghendakki kesukaran atau kepayahan kepada kita.
Manusia cuba memandai-mandai lebih daripada Allah. Allah memberi kelapangan, manusia menyukarkan dengan menambah-nambah. Satu lagi contoh ialah pasal mandi sebab berjunub.
Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mendekati solat apabila kamu sedang mabuk sehingga kamu mengetahui apa yang kamu mengucapkan, dan jangan dalam junub, kecuali kamu menyeberangi satu jalan, sehingga kamu mandi ; ………. (4:43)
Allah tidak memperjelaskan cara mandi, walhal Allah boleh memperjelaskan. Tetapi Allah biarkan ianya jadi mudah untuk manusia menggunakan aqal masing-masing bila mandi. Mandi bukanlah satu perkara yang memerlukan satu teori atau falsafah atau memerlukan prosidur yang kompleks atau rumit. Semua orang mandi. Tetapi manusia dengan sengaja mengada-adakan prosidur yang ditulis berjela-jela dan dikitabkan pula; dari cara niat, cara mula menyiram air sehinggalah cara pegang zakar semasa mandi. Allah menggunakan satu perkataan saja, mandi, tapi manusia mereka-reka prosidur berjela-jela, menghina kecerdasan dan kebijaksanaan manusia sendiri.
Terdapat berbagai-bagai lagi prosidur kehidupan harian yang diadakan. Cara basuh pakian, cara membeli belah, cara tidur, cara masuk keluar rumah, cara bersama isteri, cara buang air, dan berbagai-bagai lagi. Semuanya itu diberi kelonggaran dan kesenangan oleh Allah untuk bertindak sendiri, kecuali apa yang telah ditetapkan sebagaimana dalam Quran. Tetapi manusia mereka prosidur-prosidur, mengaitkannya dengan Islam dan serius sekali menentukan yang mana dapat pahala atau dosa. Kalau ikut apa yang mereka reka, dapat pahala. Kalau tidak dapat dosa. Ini serius. Kita mesti faham pahala dan dosa adalah hak Allah sahaja, bukan hak manusia. Manusia tidak pernah diberi mandat oleh Allah untuk menentukan pahala dan dosa.
Satu lagi situasi harian di mana manusia suka menyusahkan, samada dengan sengaja atau dengan sebab kejahilan, ialah pasal membaca Quran. Walau pun Allah menyuruh kita baca Quran, tanpa apa-apa syarat fizikal, manusia masih mengenakan syarat yaitu mesti berwudhu’. Kalau tidak, berdosa. Allah hanya memberi syarat berikut:
Apabila kamu membaca al-Qur'an, mohonlah perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang direjam. (16:98)
Mengapa pula manusia menyukarkan? Bukan sekadar itu, malah mengharamkan pula apa yang Allah tidak mengharamkan. Sila rujuk artikel Tidak boleh sentuh Quran. Bukan setakat itu, mereka menambah lagi dengan mengatakan bahawa belajar Quran mestilah melalui guru (yang bertauliah). Siapakah guru yang betauliah? Siapa yang mentauliahkan? Allah memudahkan Quran
Sesungguhnya Kami memudahkan al-Qur'an untuk Peringatan. Adakah sesiapa yang mengingatinya? (54:17)
Tetapi manusia menyukarkan.
Ujian dan Kesukaran ???
Ramai ulamak mengatakan bahawa bukan senang nak masuk syurga. Hendak dapatkan benda yang baik mestilah bersusah-susah dahulu. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Kata perpatah Ingeris “no pain no gain”. Dalam Quran tidak terdapat kaitan terus diantara balasan di akhirat dengan kesukaran mengamalkan suruhan Allah. Balasan buruk di akhirat dikaitkan dengan keingkaran manusia mematuhi perintah Allah.
Memang Allah mengatakan bahawa manusia akan diuji. Contohnya,
Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan untuk berkata, "Kami percaya", dan tidak akan diuji? (29:2)
Harta kamu dan anak-anak kamu hanyalah cubaan; dan Allah, di sisi-Nya upah yang besar. (64:15)
Sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sesuatu daripada ketakutan, dan kelaparan, dan kekurangan harta, dan jiwa, dan buah-buahan; dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar (2:155)
……… dan supaya Allah menguji apa yang di dalam diri-diri kamu, dan supaya Dia membuktikan apa yang di dalam hati kamu; dan Allah mengetahui apa yang di dalam dada. (3:154)
Sungguh, kamu akan diuji dalam harta kamu dan diri-diri kamu, dan kamu akan mendengar daripada orang-orang yang diberi Kitab sebelum kamu, dan daripada orang-orang yang mempersekutukan, gangguan yang banyak; tetapi, jika kamu bersabar, dan bertakwa - sesungguhnya itulah urusan yang patut ditekadkan. (3:186)
Rasul-rasul dan orang-orang zaman dahulu kala pun diuji. Banyak kisah-kisah dalam Quran yang menceritakan pasal bermacam-macam jenis ujian. Sebagai contoh,
Atau, adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Taman (Jannah) tanpa datang kepada kamu yang sama dengan orang-orang yang telah berlalu sebelum kamu? Mereka disentuh kemasyghulan dan kesusahan, dan mereka digoncangkan sehingga rasul dan orang-orang yang percaya bersamanya berkata, "Bilakah datang pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah dekat. (2:214)
Tetapi ujian-ujian yang diceritakan untuk kita ambil iktibar adalah dalam bentuk kepercayaan kepada Allah. Ujian yang paling besar yang diberi kepada kita semua ialah ujian samada kita percaya sepenuhnya kepada apa yang diturunkan, yaitu Quran.
Dia yang melantik kamu khalifah-khalifah (pengganti-pengganti) di bumi, dan menaikkan sebahagian kamu dalam darjat di atas sebahagian yang lain, supaya Dia menguji kamu pada apa yang Dia memberikan kamu. Sesungguhnya, Pemelihara kamu cepat dalam pembalasan sewajarnya; dan sesungguhnya Dia Pengampun, Pengasih. (6:165)
Tiap-tiap jiwa akan merasakan mati; dan Kami menguji kamu dengan kejahatan dan kebaikan sebagai cubaan, kemudian kepada Kami kamu akan dikembalikan. (21:35)
Ujian Allah bukanlah untuk menyusahkan. Tetapi ujian untuk menentukan samada manusia percaya kepada apa yang diturunkanNya. Tiada kena mengena dengan menyusahkan atau menyukarkan amalan-amalan harian. Allah sudah kata Islam bukan untuk menyusahkan. Lihat  (4:28), (20:2), (3:108), 22:78) di atas sebagai panduan.
Sebagai analogi, untuk mendapat sesuatu ijazah, seseorang mestilah melalui beberapa ujian. Ujian itu bukanlah untuk menyukarkan tetapi untuk menentukan samada sesorang itu faham konsep subjek tertentu. Terpulanglah kepada calun tersebut samada hendak menyusahkan atau menyenangkan cara menghadapi ujian. Betul cara mentalaahnya, senanglah ia lulus ujian. Pelajar yang cemerlang dapat menjawab soalan dengan cara yang mudah. Mengapa pilih jalan susah.
Sungguh, kamu akan diuji dalam harta kamu dan diri-diri kamu, dan kamu akan mendengar daripada orang-orang yang diberi Kitab sebelum kamu, dan daripada orang-orang yang mempersekutukan, gangguan yang banyak; tetapi, jika kamu bersabar, dan bertakwa - sesungguhnya itulah urusan yang patut ditekadkan. (3:186)
Dan Kami menurunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar, yang mengesahkan Kitab sebelumnya, dan mengawalnya. Maka hakimkanlah antara mereka menurut apa yang Allah menurunkan, dan janganlah mengikuti keinginan mereka untuk mengabaikan yang benar yang datang kepada kamu. Bagi setiap kamu, Kami menentukan satu peraturan, dan satu jalan yang terbuka. Sekiranya Allah menghendaki, tentu Dia membuat kamu satu umat; tetapi supaya Dia menguji kamu dalam apa yang Dia memberikan kamu. Maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebajikan; kepada Allah kamu kembali, kesemuanya; dan Dia memberitahu kamu apa yang padanya kamu memperselisihkan. (5:48)

Saturday, 20 August 2011

CARA KITA MEMBUKTIKAN BAHAWA MENYAYANGI DAN MENCINTAI RASULULLAH

Setelah nyata kepada kita kewajipan menyintai dan mengasihi Nabi Muhammad SAW berdasarkan dalil-dalil naqli dan aqli yang jelas, marilah pula kita cuba membincangkan tanda dan bukti kasih dan kecintaan seseorang terhadap baginda . Deklarasi cinta yang tidak disusuli dengan pembuktian amali tentu sahaja masih belum mencukupi untuk membentuk cinta sejati.Bukti yang paling mudah dilihat, seseorang yang benar-benar mengasihi kekasihnya, akan mengutamakan insan yang dikasihinya daripada dirinya sendiri dan kehendak peribadinya. Jika tidak mencapai tahap ini hubungan tersebut belum layak dinamakan kasih sejati yang ikhlas-murni, tetapi baru sekadar dakwaan semata-mata.
Keutamaan mentaati dan mengutamakan orang yang dikasihi ini jelas dapat dilihat dalam ungkapan seorang pencinta Allah SWT dan NabiNya SAW yang tidak asing lagi, Rabi’ah al Adawiyyah dalam syairnya: “Sesungguhnya seorang kekasih itu akan taat-patuh kepada yang dikasihinya.”
Selain memiliki semangat di atas, orang-orang yang benar-benar mengasihi Nabi SAW harus terdapat pada dirinya bukti dan tanda berikut:
1. Menjunjung agama Nabinya, mengamalkan Sunnahnya, menurut perkataan dan perbuatannya dalam setiap keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya. Dia juga mengamalkan adab-adab kehidupan Rasulullah SAW dalam segala keadaan, sama ada ketika susah atau pun senang, ketika gembira atau pun sedih. Ikatan antara ‘kasih’ dan ‘taat’ ini terlihat jelas dalam firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad), “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu.” (ali ‘Imran: 31)
Namun semangat semata-mata tidak memadai jika tidak berpaksikan di atas ilmu yang kukuh. Lebih-lebih lagi pada zaman fitnah ini, kegagalan seseorang itu mengenal mana satu Sunnah dan bidaah akan memungkinkan terjebak ke dalam lubuk bidaah yang dianggap sebagai Sunnah. Akhirnya Sunnah dipinggirkan dan bidaah ditegakkan.
Orang yang tersemat di dalam hatinya kasih yang sejati terhadap Rasulullah SAW juga, tidak akan mempedulikan kemarahan manusia lain dalam usahanya mentaati Allah SWT dan Rasul SAW.
2. Sudah menjadi adat dan lumrah berkasih, seorang kekasih akan sering menyebut dan mengingati kekasihnya. Justeru, apabila hati seseorang itu telah mengisytiharkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW, maka lidahnya akan sering menyebut nama Kekasihnya SAW dan kotak fikirannya akan sentiasa mengingati Baginda SAW.
Selaku umat Muhammad SAW, kita amat bertuah kerana telah diajar berselawat ke atas kekasih kita Nabi Muhammad SAW sebagai salah satu bentuk ibadah dan taqarrub kepada Allah SWT. Maka kita beruntung kerana dapat beribadah dengan menyebut, memuji dan berselawat kepada insan yang paling kita cintai dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang memuji Nabi SAW serta lafaz selawat yang diajar sendiri oleh Baginda SAW.
Kita juga dididik oleh Nabi SAW dan ulama pewaris Baginda SAW menghormati hari dan bulan kebesaran Islam seperti Maulid al-Rasul SAW dan Isra’ Mikraj dengan mengisinya dengan pelbagai amalan yang kesemuanya ada kaitan dengan Nabi SAW dalam kerangka ubudiah kepada Allah SWT. Walaupun ada segelintir di kalangan orang Islam sendiri mencurigai bacaan dan amalan-amalan ini.
Menghayati dan memperjuangkan agama seiring dengan berkasih-sayang dengan Nabi SAW dirasakan begitu indah dan menyegarkan. Sebaliknya tanpa dimensi ini, menghayati agama boleh terasa gersang dan membebankan serta cenderung membentuk jiwa keagamaan yang keras dan kasar.
3. Orang yang mengasihi Nabi SAW akan sentiasa berasa rindu untuk bertemu dengan Baginda SAW; untuk melihat zatnya di alam yang kekal abadi kelak, atau sekurang-kurangnya jika dapat menatap kelibat wajahnya yang mulia barang seketika dalam mimpi-mimpi mereka. Sudah pasti setiap kekasih sangat merindui untuk bersua dan menatap wajah kekasihnya.
Kerinduan sebeginilah yang dapat kita rasakan jika kita menyorot kehidupan generasi sahabat. Misalnya, kita dapat turut berkongsi keriangan dan kegembiraan Abu Musa al Asy’ari r.a dan rombongan kaumnya dari Yaman yang berkunjung ke Madinah.
Mereka mempercepatkan langkah dan begitu girang untuk menemui Rasulullah sambil mendendangkan syair kegembiraan: “Esok kita akan bertemu dengan para kekasih kita, Muhammad dan sahabat-sahabatnya!” Setibanya mereka di Madinah dan Masjid Nabi, mereka terus menghadap dan memuliakan Nabi SAW. (riwayat Al-Baihaqi)
4. Seseorang yang mengasihi Baginda SAW juga akan membesarkan diri dan suruhan Baginda termasuk memuliakannya ketika menyebut namanya. Malah ada yang sehingga menunjukkan rasa rendah dan hina diri ketika mendengar nama Baginda SAW disebut di hadapan mereka.
Berkata Ishaq al-Tujibi r.a, sahabat-sahabat Nabi SAW selepas kewafatan Baginda SAW tidak akan menyebut nama Baginda SAW melainkan mereka akan merendahkan diri dan menggigil serta menangis kerana diselubungi perasaan rindu yang dalam akibat berpisah dengannya.
Hal ini sangat berbeza dengan sesetengah mereka yang mengaku sebagai ahli agama pada zaman kita yang tidak mahu membesarkan dan menobatkan keistimewaan Nabi Muhammad SAW tetapi hanya menumpukan kepada risalahnya dan sunnah yang dibawa olehnya. Seolah-olah Nabi SAW hanyalah berperanan seumpama posmen penghantar surat atau orang suruhan bawahan!
Sedangkan apabila seseorang makhluk itu mempunyai sifat-sifat istimewa tersebut, maka sifat-sifat itu hanya sekadar yang bersesuaian dengan kemanusiaannya yang diciptakan terbatas dan diperolehi dengan izin, kurniaan dan kehendak-Nya.
Mengasihi Nabi SAW
Ada juga sesetengah mereka yang menolak penggunaan gelaran Sayyidina bagi Nabi SAW sedangkan Nabi SAW lebih daripada layak mendapat gelaran tersebut tetapi dalam masa yang sama mereka bebas menggunakan pelbagai gelaran dalam kehidupan mereka.
5. Orang yang mengasihi Nabi SAW juga sepatutnya akan mengasihi orang yang dikasihi oleh Nabi SAW terutamanya nasab keturunannya dari kalangan ahli-ahli bait dan sahabat-sahabatnya yang terdiri daripada kaum Muhajirin dan Ansar.
Mereka juga akan memusuhi orang yang memusuhi mereka dan membenci orang yang membenci mereka dan keturunan mereka.
Hakikatnya, sesiapa yang mengasihi seseorang, dia akan mengasihi semua perkara yang disukai oleh orang yang dikasihinya.
Ini ialah sirah para Salaf al-Salih; mereka akan mengasihi segala yang dikasihi oleh Rasulullah SAW sehinggakan terhadap perkara-perkara yang sekadar diharuskan dan digemari oleh nafsu (yang tidak diharamkan oleh syarak).
Anas ibn Malik r.a misalnya, setelah melihat Rasulullah SAW mencari-cari labu di dalam dulang ketika sedang menikmati makanan, maka semenjak hari itu dia turut sentiasa suka kepada labu.
6. Orang yang mengasihi Nabi SAW akan membenci apa yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, menjauhi orang yang menyalahi Sunnahnya, melakukan perkara bidaah dalam agamanya dan memandang berat setiap perkara yang bercanggah dengan syariatnya.
Allah SWT menjelaskan: Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. (al-Mujadalah: 22)
“Mereka” yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah para sahabat Baginda SAW yang telah membunuh orang yang mereka kasihi dan juga bapa-bapa mereka yang ingkar dan kafir semata-mata mengharapkan keredaan Allah. Ibnu Abbas RA menyatakan, di antara sahabat Baginda SAW yang dimaksudkan di dalam ayat itu ialah Abu Ubaidah al-Jarrah.
Beliau sanggup membunuh bapanya dalam peperangan Uhud manakala Saidina Abu Bakar r.a sanggup berlawan satu lawan satu dengan anaknya sebelum memulakan peperangan Badar, tetapi dihalang oleh Rasulullah SAW. Inilah antara bukti cinta yang tidak berbelah-bagi terhadap Baginda SAW.
7. Orang yang benar-benar mencintai Nabi SAW juga pasti akan kasih terhadap al-Quran yang diutuskan kepada Rasulullah SAW yang dengannya manusia mendapat petunjuk. Mereka akan mengikut jejak Baginda SAW yang menjiwai al-Quran dan berakhlak dengannya seperti yang ditegaskan oleh Ummul Mukminin, Aisyah r.ha dalam katanya, “Akhlak Baginda SAW adalah al- Quran itu sendiri”.
Mengasihi al-Quran bererti membacanya, beramal dengannya, memahaminya, menjunjung suruhan dan meninggalkan larangannya.
8. Tanda kasih terhadap Nabi SAW juga ialah berasa kasih dan belas terhadap umatnya dengan memberi nasihat kepada mereka, berusaha melakukan kebaikan dan menghapuskan kemudaratan daripada mereka.
Inilah sebahagian daripada bukti dan tanda yang harus ada pada para pencinta Nabi SAW. Oleh itu marilah kita bersama-sama memuhasabah diri, adakah kita ini pencinta sejati atau pendakwa semata-mata?
Tepuk dada, tanyalah iman. Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesempurnaan kecintaan kepada Rasulullah SAW!

KURNIAAN ALLAH


Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah, Tuhan semesta alam. Dialah yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah daripada segala macam kejahatan dan tipu daya Syaitan. Daripada segala dosa dan noda yang telah kami lakukan.
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W adalah pesuruh Allah. Selawat dan salam ke atas Baginda S.A.W. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.
Otak, akal dan fikiran adalah suatu nikmat dan anugerah Allah S.W.T kepada manusia. Seringkali ketiga-tiga kurniaan ini diaggap sama namun hakikatnya otak, akal dan fikiran adalah suatu yang berlainan tetapi saling berkaitan. Otak ialah ciptaan Allah yang bersifat konkrit dan kelihatan. Bagi yang belajar subjek Biologi tentu biasa mendengar teori Roger Sperry yang menyatakan otak terbahagi kepada dua bahagian iaitu kiri dan kanan. Kedua bahagian ini mempunyai daya fikiran yang berbeza. Bahagian otak kanan membolehkan kita berfikir dengan kreatif dan berimaginasi sebaliknya bahagian kiri otak membolehkan kita berfikir dengan logik dan analisis.
Akal pula adalah suatu ciptaan Allah yang unik. Tidak seperti otak, ia bersifat abstrak atau tidak kelihatan. Namun, ia tetap wujud. Jika anda melihat pembedahan otak dilaksanakan, yang anda akan lihat hanyalah otak bukan akal. Akal ialah anugerah yang besar daripada Allah S.W.T kepada kita semua makhluk-Nya yang bernama manusia. Dengan akal darjat kita ditinggikan berbanding makhluk Allah yang lain seperti tumbuhan dan binatang. Dengan adanya otak dan akal barulah fikiran boleh dihasilkan.
Begitulah juga hubungkait antara otak dan akal manusia. Tanpa wujudnya otak, akal tidak dapat digunakan dan tanpa akal pula, mustahil otak dapat digunakan. Jika kedua-dua otak dan akal digunakan maka akan wujudlah fikiran. Dengan wujudnya fikiran maka manusia boleh berfikir. Fikiran pula wujudnya dalam dua keadaan iaitu fikiran keadaan sedar dan fikiran bawah sedar. Dari sudut ilmiah, fikiran sedar digunakan dalam empat tahap iaitu mengenal pasti maklumat, membuat perbandingan, menganalisis dan membuat keputusan terhadap sesuatu maklumat.
Perumpamaan otak dan akal adalah umpama hardware dan software dalam komputer. Kita andaikan otak kita adalah hardware manakala akal ialah software. Kedua-dua unsur ini perlu digabungkan untuk berfungsi dengan baik. Seperti yang kita tahu, setiap hardware memerlukansoftware untuk berfungsi manakala tanpa hardware pula, software tidak dapat digunakan. Mustahil untuk menggunakan komputer tanpa software dan mustahil untuk menggunakansoftware tanpa adanya komputer.
Maklumat dikenalpasti dengan menggunakan pancaindera kurniakan Allah S.W.T iaitu bau, sentuhan, penglihatan, pendengaran dan perasaan/ rasa). Perbandingan dilakukan dengan merujuk kepada bahan dan pengalaman setiap manusia seterusnya dianalisis sebelum fikiran memutuskan sesebuah maklumat itu. Sungguh hebat ciptaan Allah, hanya beberapa saat sahaja otak kita mampu memproses dan menerima berjuta-juta maklumat. Subhanallah. Firman Allah S.W.T:
"Yang telah menciptakanmu, lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuhmu) seimbang, dalam bentuk apa yang dikehendaki, Dia menyusun tubuhmu". (al-Infitar:7-8)
Minda bawah sedar pula adalah suatu keadaan di mana manusia berfikir di luar tahap kesedarannya. Mengikut teori pakar hipnosis, Milton Erickson, kemampuan berfikir di tahap bawah sedar adalah jauh lebih tinggi daripada fikiran sedar. Beliau menisbahkan kemampuan berfikir bawah sedar adalah sembilan kali ganda lebih tinggi daripada kemampuan fikiran sedar. Kadang-kala kita merasakan sesuatu memori itu telah dilupakan namun pada suatu ketika kita dapat mengingatinya kembali tanpa menyedari memori itu tersimpan di dalam otak. Maka ketika itulah fikiran bawah sedar akan keluar dan digunakan.
Sesungguhnya rahsia ilmu Allah itu sangat luas dan hakikat yang sebenar hanya Allah yang lebih mengetahui. Merenung penciptaan tiga anugerah Allah bernama otak, akal dan fikiran ini akan membuatkan kita berasa kerdil nya diri kita. Biarpun kita digelar manusia terpintar didunia ini, adalah mustahil bagi kita untuk mencipta satu ciptaan yang menyamai ketiga-tiga benda ciptaan Allah ini. Moga kita menggunakannya ke arah kebaikan dan diredha Allah S.W.T bukan sebaliknya kerana kita perlu ingat siapa yang menciptakan kesemuanya.

TAZKIRAH RAMADHAN : 2


KELEBIHAN SAHUR & TAMAR


“Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.”  -HR Bukhari dan MuslimIbadat puasa adalah satu perkara yang dituntut dan  diwajibkan ke atas semua umat Islam yang telah cukup umur dan berkemampuan.  Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur adalah satu amalan sunat yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa.  Namun dalam era globalisasi yang sentiasa bergerak pantas ini, umat muslimin menjadikannya sebagai satu alasan untuk tidak bersahur.  Mengantuk dan letih kerap dijadikan jawapan kepada keengganan bersahur walaupun ia telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada setiap yang berpuasa.  Umum begitu arif dengan kaum lain yang juga mengerjakan puasa, namun apakah yang membezakan amalan puasa kaum muslimin dengan mereka?  Perbezaannya jelas terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak bersahur.  Ramai juga yang tidak menyedari bahawa pada waktu bersahur juga adalah waktu yang mustajab untuk berdoa dan Allah SWT tidak akan menghampakan doa mereka.Bagi mereka yang bersahur Allah SWT akan memberi keuntungan yang berlipat kali ganda.  Selain daripada memperolehi kekenyangan dan kekuatan untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, mereka juga akan memperolehi berkat yang diturunkan pada sepanjang hari mereka melaksanakan ibadat tersebut.Ibnu Hajar dalam mengulas Sahih Bukhari telah menyenaraikan beberapa kelebihan puasa, yang antara lainnya ialah:
·        Menuruti sunnah;
·        Membezakan diri dengan Ahlul Kitab;
·        Menambah kekuatan untuk beribadat;
·        Meningkatkan keikhlasan dalam beribadat;
·        Menghilangkan perasaan marah yang diakibatkan oleh kelaparan dan
·        Mendapat peluang untuk mengingati Allah dengan berzikir dan berdoa.


        Namun, kita tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau sikit pasti akan menimbulkan rasa kurang selesa. Sebaik-baik sahur yang dianjurkan ialah dengan memakan buah kurma atau tamar.  Bersahur dengan memakan kurma adalah sebahagian daripada sunnah Nabi, justeru jika kita mengamalkannya, Allah SWT akan memberikan pahala sebagai ganjaran.  Abu Hurairah ra berkata, “Sabda Rasulullah SAW:  Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.” -HR Ibnu Hibban & Baihaqi     Seandainya keletihan menimbulkan kesukaran untuk bersahur, Rasulullah SAW menganjurkan agar tetap mengambil sebiji kurma ataupun memadai dengan seteguk air untuk mengisi perut.     Waktu sahur yang paling afdhal ialah pada waktu menjelang Subuh, iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh.  Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.

 BERBUKA PUASA


    "Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama ia menyegerakan dalam berbuka." -HR Bukhari Muslim

Tiada yang lebih dinantikan selama waktu berpuasa sepanjang siang melainkan waktu berbuka puasa.  Apabila tiba Maghrib, maka muslimin yang berpuasa disunatkan agar menyegerakan berbuka lantaran ganjaran pahala yang lebih banyak daripada mereka yang menunda waktu berbuka.Rasulullah SAW juga menyeru umatnya agar tidak tergesa-gesa ketika berbuka puasa.  Makanlah dengan sewajarnya namun janganlah pula sehingga habis waktu untuk menunaikan solat 
Maghrib.  Ini sejajar dengan sabda Baginda yang bermaksud:

"Apabila makanan telah dihidangkan, maka dahulukanlah makan daripada solat Maghrib dan janganlah kamu tergesa-gesa ketika makan makanan malam kamu."  -HR Bukhari Muslim


Mendahului berbuka dengan memperbanyakkan doa adalah suatu yang dituntut kerana Allah SWT telah berjanji akan mengabulkan doa mereka yang berpuasa.  Sebaiknya hendaklah doa yang meminta supaya diampunkan segala dosa yang pernah dilakukan pada masa lalu.  Doa ini bukan sahaja dituntut ketika hendak berbuka puasa wajib tetapi juga ketika berpuasa sunat.

Terdapat beberapa doa pilihan yang boleh dijadikan pedoman ketika berbuka, iaitu:· 


-         "Allahumma laka shumtu wa 'alaa rizqika afthartu."  

(Ya Allah, demi Engkau, aku puasa dan dengan rezeki-Mu aku berbuka)


-         "Alhamdulillahiladzi a'aanani fashumtu wa razaqani fa afthartu."  

(Segala puji bagi Allah, tuhan yang menolongku, sehingga aku (sanggup) berpuasa dan memberiku rezeki, sehingga aku (dapat) berbuka)


-         "Allahumma laka shumnaa wa 'alaa rizqika aftharnaa, fa taqabbal minnaa innaka antas samiiul 'aliim." 

(Ya Allah, demi Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki-Mu kami berbuka, maka terimalah (puasa) dari kami.  Sesungguhnya Engkau benar-benar Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui)


-         "Allahumma inni as 'aluka bi rahmatikallati wasi'at kulla syai'in antaghfiralii."  

(Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang luasnya meliputi segenap (makhluk) agar Engkau mengampuni diriku)


Walau bagaimanapun, menurut Imam Nawawi dalam Kitab Al-Azkar, doa-doa berbuka puasa tiada yang sahih.  Rasulullah  SAW bersabda bahawa setiap individu boleh berdoa apa sahaja sesuai dengan keinginan mereka.  Namun sebagai manusia biasa, adakalanya doa yang dipanjatkan tidak dimakbulkan Allah SWT.  Jika hal ini berlaku maka kita hendaklah mengkaji di mana kesilapan kita.  Mungkin juga makanan atau minuman yang kita ambil datang daripada sumber yang tidak sah kerana salah satu syarat supaya doa kita dimakbulkan ialah sumber makanan kita haruslah daripada sumber yang halal.

     
Bukan sahaja dari segi makan minum harian, malah kita sepatutnya lebih teliti dalam melakukan dan memperkatakan apa jua perkara, termasuklah dalam urusan yang kita anggap sebagai kecil dan remeh-temeh.  Masalah tidak akan  timbul jika kita menyelesaikan perkara yang kecil terlebih dahulu sebelum 
ianya menjadi lebih besar.



 LAILATUL QADAR

Bismillahirahmanirahhim.
Assalammualaikum wbt.

"…(iaitu) ada pada bulan Ramadhan.  Kerana itu, hendaklah kamu mencarinya pada sepuluh hari terakhir.  Kerana ia terdapat pada hari-hari ganjil, iaitu pada malam 21, atau malam 23, atau  malam 25, atau malam 27, atau malam 29, atau malam terakhir." - HR Ahmad          
   
     Lailatul Qadar adalah satu malam istimewa yang dikurniakan kepada umat Muhammad SAW lantaran kebimbangan Baginda terhadap usia umatnya yang semakin pendek.  Bagi mengatasi keraguan ini, maka Allah SWT menurunkan malam Lailatul Qadar yang membawa pahala seperti beribadat selama 83 tahun.  Ini bagi menyamakan jarak masa umat terdahulu dengan umat Baginda pada hari ini dalam mengerja dan mendapatkan pahala beribadat.
     Suatu masa Baginda hendak memberitahu kaumnya mengenai tarikh Lailatul Qadar yang tepat tetapi terjadi satu pergaduhan di antara dua orang muslim.  Jelas Baginda, maka itu rahmat (tarikh Lailatul Qadar) telah diambil kembali. Sesungguhnya perbalahan kerapkali menyebabkan kita kehilangan nikmat dan rahmat.  Justeru, Baginda menyarankan kepada kaum muslimin agar menghubungkan silaturrahim kerana ia adalah amalan yang lebih baik daripada solat, puasa dan sedekah.  Silaturrahim juga akan meningkatkan iman di dalam sesuatu kaum.
     Pada zaman Rasulullah SAW, ramai ulama dan sahabat menyambut Lailatul Qadar dengan tekun mengerjakan ibadat.  Rasulullah SAW sendiri tidak pernah leka dalam hal ini walaupun Baginda telah dijanjikan tempat di sisi-Nya.  Malahan Baginda khusyuk beribadat sehingga kakinya bengkak tanpa memikirkan kesakitan yang ditanggung.
    Kita sebagai umatnya juga harus mengikuti contoh ini.  Tidak sepatutnya kita memilih untuk mengikuti sunnah Baginda yang dirasakan mendatangkan faedah yang besar kepada kita sahaja kerana sememangnya semua sunnah Nabi memberi faedah.  Namun, apabila memperkatakan hal ibadat, jarang sekali kita mahu mencontohinya. Bak kata pepatah tepuk dada, tanya selera.
Perbanyakkanlah amalan pada Malam Lailatul Qadar seperti membaca Al-Quran, bertasbih dan bertahmid.  Dan ia sesungguhnya boleh ditemui jika kita dapat membezakan malam tersebut dengan malam-malam sebelumnya. 

Rasulullah SAW telah menjelaskan di antara tanda-tanda Lailatul Qadar ialah:
·           Malam yang sepi, tenang dan bercahaya;
·           Tidak panas atau sejuk (sederhana) seolah bulan memancar terang;
·           Tiada petir atau kilat sabung menyabung sehingga subuh;
·           Pada paginya matahari akan timbul tanpa pancaran cahaya, seperti bulan mengambang
     Tanda ini amat jarang ditemui, kecuali tanda terakhir yang pernah terjadi.  Andai bertemu dengan malam ini, maka ucapkanlah doa berikut yang bermaksud:
"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang mengurniakan keampunan terhadap dosaku.  Dikau suka mengampun, maka ampunilah daku."

     Pada malam ini juga Jibrail a.s akan turun ke bumi dan mengarahkan setiap malaikat berkunjung, memberi salam dan berjabat tangan dengan mukmin yang sedang beribadat di rumah mereka.  Namun malaikat-malaikat ini tidak akan mendatangi mana-mana rumah yang di dalamnya ada haiwan-haiwan peliharaan yang haram, penzina, juga rumah yang di dalamnya tergantung perhiasan atau gambar haiwan dan manusia.  Justeru, awasilah perlakuan kita dan sentiasalah berusaha meningkatkan iman, terutamanya dalam Ramadhan ini. 



TAZKIRAH RAMADHAN : 1

 AWAL AL-MUBARAK


"Berpuasa pada bulan Ramadhan dan berpuasa sebanyak tiga hari pada setiap bulan akan menjauhkan fikiran jahat daripada hati dan membersihkannya." 

Ramadhan menjenguk lagi. Dan sedari awal kedatangannya memang dinanti. Inilah masa yang paling sesuai untuk merebut ganjaran pahala yang berlipat kali ganda tanpa diganggu-gugat oleh syaitan dan iblis, hanya nafsu yang perlu dikawal. Setiap individu mempunyai cara yang tersendiri menyambut Ramadhan. Ada juga mukmin yang memulakan sambutan puasa dengan berpuasa sunat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW 
yang bermaksud: 

"Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seseorang yang telah membiasakan diri berpuasa sunat, maka ia dibolehkan berpuasa." - HR Tujuh Ahli Hadith Puasa Ramadhan tidak boleh dimulakan dengan berpuasa sunat atas alasan ingin menyambut ketibaan Ramadhan. Namun, jika seseorang individu itu telah biasa dan memang mengamalkan berpuasa sunat di dalam hidupnya, maka individu ini tidak ditegah untuk berpuasa sunat walaupun puasa sunat yang dilakukannya adalah pada sehari atau dua hari sebelum kedatangan Ramadhan. Malahan, hal seperti ini dibolehkan di dalam Islam. Misalnya, jika seseorang itu telah biasa berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Ramadhan pada tahun itu jatuh pada hari Selasa, maka individu itu dibolehkan meneruskan puasa sunatnya sebagaimana lazimnya. Namun jika individu itu sengaja melakukan puasa sunat sedangkan itu bukanlah kebiasaan amalannya, maka puasa seperti ini adalah diharamkan kerana ia dikatakan sebagai mendahului ibadat puasa Ramadhan. Walaupun ada segolongan individu yang berpendapat puasa seperti ini sebagai satu penghormatan untuk menyambut ketibaan Ramadhan tetapi  Rasulullah SAW sendiri menidakkan dalil yang sebegini dan menegah sama sekali amalannya. Terdapat segelintir golongan bukan Islam yang berpendapat ibadat puasa ini tidak lain daripada meletih dan menyeksakan lantaran pantang larang yang perlu dipatuhi, namun pendapat-pendapat sebegini mula terhakis berikutan penemuan dan kajian yang  dijalankan menunjukkan bahawa puasa adalah satu amalan yang baik bagi menjamin tahap kesihatan mental dan fizikal secara keseluruhannya. Di samping menerangkan kepada mereka tentang konsep sebenar ibadat dalam Islam, kita sentiasa digalakkan untuk memperbaiki dan menambah amalan dari semada ke semasa terutamanya di dalam bulan Ramadhan ini. Ibadat utama dalam Ramadhan ialah untuk mengerjakan puasa. "Barangsiapa tidak membulatkan niatnya berpuasa sebelum fajar (subuh), maka tidak ada puasa baginya." - HR Ahmad & Ashabus Sunan Awal puasa ialah berniat untuk mengerjakan ibadat tersebut.


Niat puasa terbahagi kepada dua iaitu: 


Berniat setiap malam sebelum datangnya waktu Subuh -  seseorang yang berkeinginan untuk berpuasa, wajib menyatakan niatnya; Berniat pada awal bulan Ramadhan sebelum datangnya waktu Subuh - seseorang yang ingin berpuasa pada bulan tersebut, wajib menyatakan niatnya untuk berpuasa selama satu bulan Ramadhan. Kedua-dua pengertian ini boleh diterima pakai, namun bagi mendidik anak-anak kecil berlatih berpuasa, lebih wajar jika kaedah yang pertama ini diterapkan kepada mereka. Manakala kaedah yang kedua pula lebih mudah dan meringankan Seseorang yang akan mengerjakan ibadat puasa selama sebulan Ramadhan, memadai jika menyatakan niat puasanya sekali pada malam pertama Ramadhan. Jika niatnya dinyatakan setiap malam, maka hal ini dikategorikan sebagai sunat dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan. 

EMPAT TUNTUTAN


"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib  ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah  diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa." - Surah Al Baqarah: 183

     Ramadhan adalah bulan yang amat bermakna  bagi mereka yang tahu menilai dan menghargai kelebihannya. Ramadhan merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran, waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk menambah ibadat dan amalan. 

     Rasulullah SAW telah menggariskan empat amalan utama yang digalakkan dalam bulan ini iaitu;

1. Melazimkan bacaan kalimah taiyibah; 
2. Beristighfar;
3. Memohon memasuki jannah dan 
4. Berlindung dengan-Nya daripada neraka jahannam.

    Rasulullah SAW telah menggesa para sahabat untuk menjadikan keempat-empat perkara ini sebagai suatu amalan.  Abu Saeed Khudri r.a meriwayatkan bahawa:  

"Suatu ketika Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar diberikan satu kalimat khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah SWT dan dapat memohon sesuatu melaluinya.  Lantas Allah SWT menyuruhnya menyebut kalimah tersebut.  Nabi Musa AS berkata:  "Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hamba-Mu, aku mengkehendaki yang khusus."  Lalu Allah SWT menjawab, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat  lagi daripada segala sesuatu."     Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa jika seseorang menyebut kalimah taiyibah ini, iaitu "laa ilaha illallah" dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera terbuka untuknya.     Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah SWT telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. Malahan sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan.  Kalimah istighfar yang mudah disebut adalah seperti "astaghfirullah".  Tidak ada batasan dalam mengulang sebutan istighfar ini.  Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang dikumpul.     Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam syurga sambil meminta kepada Yang Maha Esa menjauhkan kita daripada ancaman api neraka.  Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga ialah seperti berikut:"Allahhumma as'alukal jannata wa a'uzubika minannar."     Dengan memperbanyakkan amalan di atas, maka akan bertambah banyaklah amal ibadah yang kita lakukan untuk memenuhi bulan Ramadhan ini.  Ramadhanlah masanya yang paling sesuai untuk memperbanyakkan ibadah lantaran tiadanya gangguan godaan daripada iblis dan syaitan.     Justeru, sebagai umat yang sentiasa mendambakan kasih sayang-Nya, perhatian dan ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan-Nya, maka layaklah kita sebagai hamba-Nya merebut peluang ini yang datang hanya sekali dalam setahun.  Jika kita sanggup berhabis wang ringgit semata-mata untuk tujuan kecantikan dan hiburan, maka Allah SWT memberi peluang untuk kita berkunjung ke syurga-Nya secara percuma.  Tidak perlukan bayaran, hanya sedikit masa dan keikhlasan.  Masih enggankah lagi kita menerima tawaran ini?  Fikirkan.



Friday, 19 August 2011

KEINDAHAN ISLAM MEMBAWA PERTUNJUK

Abu Jaafar Al-Haddad merupakan salah seorang wali Allah yang sangat terkenal. Suatu hari beliau mengikuti satu rombongan besar dalam perjalanan dari kota Basrah menuju ke kota Baghdad dengan menaiki sebuah kapal menyusuri sungai Dajlah. Di antara sekian ramai orang yang menyertai rombongan tersebut ada seorang lelaki yang menjadi perhatian Abu Jaafar Al-Haddad. Selama di dalam pelayaran, lelaki tersebut tidak pernah makan dan minum dan tidak pernah mengerjakan solat menyebabkan Abu Jaafar tertanya-tanya pada dirinya sendiri dan ingin tahu rahsia di sebalik kelakuan lelaki tersebut. Abu Jaafar Al-Haddad segera menghampirinya.

"Assalammualaikum saudara, boleh saya bertanya sedikit?" Sapa Abu Jaafar.
"Boleh, apa salahnya." Jawab lelaki itu dengan tidak mengendahkan salam Abu Jaafar Al-Haddad.
"Mengapa awak tidak pernah mengerjakan solat dan berjemaah dengan kami? " Tanya Abu Jaafar Al-Haddad.
"Saya ini bukan orang Islam," jawab lelaki itu selamba
"Jadi, engkau beragama apa?" Abu Jaafar Al-Haddad mahu kepastian.

"Saya beragama Nasrani," jawabnya.
Abu Jaafar berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, namun masih ada satu lagi persoalan dalam fikirannya iaitu bagaimanakah lelaki tersebut boleh tahan berhari-hari tidak makan dan tidak minum.
"Saya lihat awak tidak pernah makan dan minum?" Tanya Abu Jaafar.
"Saya bertawakal kepada Tuhan." Jawabnya pendek.
"Saya juga bertawakal kepada Allah," kata Abu Jaafar.
Ketika sampai ke suatu destinasi untuk berehat, Abu Jaafar masih lagi asyik berbual dengan lelaki Nasrani itu sehinggalah tiba waktu makan. Riuh rendahlah orang ramai ke sana ke mari mencari dan membuka bekalan masing-masing. Ada yang naik ke darat mencari sesuatu barang keperluan sebelum menyambung pelayaran. Tapi Abu Jaafar dan lelaki Nasrani yang masih lagi berbual-bual itu sudah berazam untuk bertawakal saja, tidak mahu berbuat demikian. Apabila orang ramai melihat kedua-dua mereka ini tidak mempunyai sebarang makanan, merekapun mengajaknya untuk makan bersama. Tapi Abu Jaafar dan lelaki itu tetap dengan pendirian mereka tidak mahu makan.
"Mari kita keluar dan berjalan di darat sana," kata Abu Jaafar kepada lelaki Nasrani itu.
"Boleh, tapi dengan syarat..." kata lelaki Nasrani.
"Apa syaratnya?" tanya Abu Jaafar.
"Jika kita masuk ke dalam kampung, tuan mesti berjanji yang tuan tidak akan masuk ke dalam masjid, dan begitu juga saya tidak akan masuk ke dalam gereja," terang lelaki Nasrani itu.
"Ya saya berjanji," kata Abu Jaafar dengan penuh yakin.
Merekapun berjalan merentas tanah yang terbentang luas sehingga senja mereka pun duduk istirehat berhampiran dengan tempat membuang sampah. Tiba-tiba datang seekor anjing hitam, mulutnya menggigit roti dan diletakkannya di hadapan lelaki Nasrani itu. Rupa-rupanya anjing itu hanya menghantar makanan untuk lelaki Nasrani yang bertawakal itu saja. Lelaki Nasrani tadi mengambil roti itu dan dimakannya dengan senang hati tanpa menoleh-noleh lagi kepada Abu Jaafar, apalagi hendak mempelawanya makan bersama. Akhirnya habis roti itu dimakan oleh lelaki Nasrani tersebut.
Setelah itu kedua-duanya meneruskan perjalanan meninjau-ninjau di kawasan perkampungan sehinggalah waktu senja. Apabila kepenatan, mereka berehat lagi. Tiba-tiba datang lagi anjing hitam itu membawa roti di mulutnya dan diletakkannya di hadapan lelaki Nasrani itu lalu dimakannya. Demikianlah yang terjadi setiap hari. Setiap kali si Nasrani mendapatkan makanan yang dihidangkan oleh seekor anjing hitam, dia memakannya sendiri tanpa menoleh dan mempelawa temannya menikmati bersama. Sementara Abu Jaafar sendiri, sibuk dengan mengerjakan solat setiap kali ketika lelaki Nasrani itu makan.
Pada hari keempat kedua-dua hamba Allah yang sudah saling kenal mengenali itu melalui sebuah perkampungan. Oleh sebab matahari sudah terbenam, mereka berhenti di suatu tempat bagi membolehkan Abu Jaafar Al-Haddad mengerjakan solat Maghrib di situ, sedang lelaki Nasrani itu memerhatikan dari jauh. Di dalam hatinya memuji Abu Jaafar Al-Haddad rajin menunaikan ibadah sembahyang walaupun mengikut perjanjian Abu Jaafar tidak boleh pergi ke masjid, namun dia tetap melakukan sembahyang.
Tiba-tiba datang seorang lelaki membawa sebuah dulang yang berisi makanan dan sebuah kendi berisi air. Dia berdiri di situ sehingga Abu Jaafar selesai solatnya. Setelah mengucapkan salam, orang itu meletakkan dulang yang dibawanya di hadapan Abu Jaafar.
"Sila bawa makanan ini kepada lelaki itu!" Kata Abu Jaafar kepada orang yang membawa dulang sambil menunjuk ke arah lelaki Nasrani tersebut.
Tanpa berkata apa-apa orang itu membawanya kepada lelaki Nasrani yang berada tidak jauh dari situ, sementara Abu Jaafar masih asyik mengerjakan solat.
Setelah Abu Jaafar selesai solat, lelaki Nasrani itu datang kepadanya dengan membawa dulang tadi.
"Wahai Abu Jaafar! Allah telah memperlihatkan kepadaku bahawa agamamu (agama Islam) adalah lebih baik daripada agamaku," kata lelaki Nasrani itu.
"Dari mana engkau mengetahui perkara ini?" Tanya Abu Jaafar Al-Haddad.
"Buktinya sudah cukup jelas. Ianya berlaku di hadapan mataku ini." Terang lelaki Nasrani itu lagi.
"Cuba awak terangkan kepada saya apa yang berlaku di hadapanmu itu?" Tanya Abu Jaafar menduga.
"Aku makan rezeki yang dihidangkan oleh seekor anjing, sedangkan aku adalah seorang manusia, berbeza dengan rezekimu dihidangkan oleh manusia. Maka dengan itulah aku tahu bahawa Islam itu adalah agama yang terbaik daripada agamaku." Kata lelaki Nasrani itu.
"Sekarang apa yang awak mahu?" Sambung Abu Jaafar.
"Tuan ! Sekarang juga dengan kerelaan hati saya sendiri, saya akan meninggalkan agama saya dan masuk agama Islam." Kata lelaki Nasrani itu.
Maka ketika itu juga lelaki Nasrani itu mengucapkan dua kalimah syahadah  di hadapan Abu Jaafar Al-Haddad Dia lalu membuang semua tanda-tanda atau lambang-lambang Nasrani yang ada pada dirinya. Abu Jaafar bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala. yang telah membuka pintu hati temannya untuk menerima Islam. 

Semoga Allah memberikan rahmat kepada mereka yang telah mengambil Islam sebagai panduan dan pegangan hidup mereka . Segala puji bagi Allah yang telah menunjukkan kita kepada agama Islam dan dijadikannya kita sebagai umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

* Dipetik dari kitab Raudhur Rayyahin Fii Hikayatus Salihin karangan Syeikh Imam Abdullah bin As’ad bin Fallah al-Yafii al-Yamany Asy-Syafie.



6 ORANG YANG MENDAPAT DOA PARA MALAIKAT


Allah SWT berfirman, “Sebenarnya (malaikat-malaikat itu) adalah hamba-hamba yang dimuliakan, mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah-perintah-Nya. Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak memberikan syafa’at melainkan kepada orang – orang yang diredhai Allah, dan mereka selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya”
*(QS Al Anbiyaa’ 26-28)
Berikut adalah senarai orang-orang yang mendapat doa oleh para malaikat:
1. ORANG YANG TIDUR DALAM KEADAAN BERSUCI.
Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa ‘Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci‘”
*(Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih At Targhib wat Tarhib I/37)

2. ORANG YANG MENUNGGU SOLAT.
Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah salah seorang di antara kamu yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia
* (Sahih Muslim no. 469)
3. ORANG YANG BERADA DI SAF HADAPAN KETIKA SOLAT.
Imam Abu Dawud dan Ibnu Khuzaimah dari Barra’ bin ‘Azib ra., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada pada saf-saf terhadapan
*(Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih Sunan Abi Dawud I/130)
4. ORANG YANG MENYAMBUNG SAF (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).
Para Imam iaitu Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim meriwayatkan dari Aisyah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada orang-orang yang menyambung saf-saf
*(Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih At Targhib wat Tarhib I/272)
5. KETIKA SEORANG IMAM SELESAI MEMBACA AL FATIHAH.
Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jika seorang Imam membaca ‘ghairil maghdhuubi ‘alaihim waladh dhaalinn’, maka ucapkanlah oleh kalian ‘aamiin’, kerana barangsiapa ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, maka ia akan diampuni dosanya yang lalu
*(Sahih Bukhari no. 782)
6. ORANG YANG DUDUK DI TEMPAT SOLATNYA SETELAH MELAKUKAN SOLAT.
Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Para malaikat akan selalu berselawat kepada salah satu di antara kalian selama ia ada di tempat solat di mana ia melakukan solat, selama ia belum batal wudhu’nya, (para malaikat) berkata, ‘Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia‘”
*(Al Musnad no. 8106, Syaikh Ahmad Syakir mensahihkan hadith ini)